Malam ini aku menangis.
Qiyam Ramadan aku beriring sendu.
Aku tidak dapat menahan rasa sedih dan kesal, bagai ada batu besar terbuku menjadi beban di lubuk hatiku.
Rasa terkilan itu juga bersulam silang dengan rindu.
Kenanganku kepada Ramadan bukan pada kemeriahan berbuka puasa atau berQiyam semata.
Apa yang lebih mengundang rindu, menusuk kalbu, adalah pada manis yang dijamu. Kemanisan di bulan Ramadan, tatkala masjid kecilku itu menyaksikan begitu ramai anak tempatan disentuh hidayah Allah. Di lindungan bumbung Ramadan, masjidku dilimpahi rahmat dengan ungkapan Shahadah lelaki dan perempuan, yang semenjak lahir mereka tidak kenal Allah dan Muhammad, namun di masjidku, mereka kembali.
Kembali kepada fitrah.
Mereka bersyahadah.
Bukan hanya di masjid kami, malah di kebanyakan masjid yang ada.
Di masjidku, kami mahu ia seperti Masjid Nabi. Sesiapa yang mencari teduh, dijemput berteduh. Sesiapa mencari hidayah, disambut dengan ramah. Hampir setiap hari tetamu datang. Namun mereka bertemu di maksud yang satu.
Pada mereka, datang bertamu.
Pada kami, Allah yang menyeru.
Tugas kami menyambut tetamu.
Bukankah itu amanah di bahu?
Bulan Ramadan adalah bulan yang dinanti-nantikan. Bukan hanya pada segala kebaikan yang sedia terjanji di lisan Nabi yang berpesan. Malah bulan ramai anak tempatan memeluk Islam. Hidayah daripada Allah, namun ikhtiarnya tidak pernah menghela lelah.
No comments:
Post a Comment